05 March 2011

Satu penceraian setiap 15 mnt


Statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada tahun 2009 menunjukkan berlaku satu perceraian pada setiap 15 minit di kalangan umat Islam, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim. Beliau berkata jumlah itu meningkat daripada tahun ke tahun akibat daripada kurangnya penghayatan agama di kalangan suami isteri termasuk mengabaikan solat.

"Jika solat lima waktu sehari semalam tidak dapat dilaksanakan, sudah tentu dapat kita bayangkan mereka juga sukar untuk melaksanakan peranan dan tanggung jawab sebagai suami dan isteri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar sempena Maulidur Rasul : Rasulullah Ikon Keluarga Bahagia di sini hari ini.
Seramai 1,200 penjawat awam hadir pada seminar itu dengan anggota panelnya terdiri daripada pakar motivasi Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah dan pendakwah Datuk Dr Fatma Zahrah Mohd Ramadan. Mashitah berkata Jakim akan memperbanyakkan lagi program-program pemantapan keluarga yang menerapkan kesedaran terhadap peranan suami dan isteri, kemahiran keibubapaan, pendidikan serta pengurusan ekonomi keluarga.
Setakat ini, Jakim telah menganjurkan sebanyak 900 program kekeluargaan dengan kerjasama jabatan agama Islam negeri-negeri dalam usaha untuk memperkasakan institusi rumah tangga, katanya. Dalam perkembangan lain, Mashitah berkata Jakim masih memantau pergerakan saki baki pengikut ajaran Al-Arqam yang didakwa mengadakan perjumpaan dikenali sebagai 'Sidang Parlimen Roh' selepas kematian pengasasnya Ashaari Mohamad atau Abuya pada 13 Mei tahun lepas."Kita masih mengikuti apa yang mereka buat. Jadi minta kepada rakyat supaya berhati-hati dan tidak mengkuti kepada ajaran itu," kata beliau.

Pelajar dan duit

Mahasiswa universiti Zana (bukan nama sebenar) memutuskan untuk menceburi perniagaan jualan langsung setelah menghadiri ceramah tentang 'bagaimana menjana keuntungan beribu Ringgit sebulan'. Zana begitu teruja dengan 'persembahan' pelan pemasaran yang disampaikan oleh penceramah itu yang memberikan gambaran tentang betapa senangnya untuk menjana pendapatan yang besar dengan menjual alat kelengkapan rumah.

"Anda boleh menjadi majikan anda sendiri dan mendapat pulangan lumayan dengan menjual produk serta mendapat komisyen dengan mempelawa ahli baru untuk menyertai perniagaan ini," seorang penceramah memberitahu mereka yang hadir pada sesi ceramah itu.

Tetapi Zana tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk memulakan perniagaan itu. Keluarganya tidak begitu menggalakkan kerana Zana masih belajar dan enggan memberikan wang modal. Zana memutuskan untuk menggunakan wang Pinjaman Tabung Pelajaran Tinggi Nasional (PTPTN) untuk dibuat modal.
Tetapi malangnya setelah beberapa bulan dalam perniagaan jualan langsung itu dan terpaksa membahagi masa antara pelajaran dan dunia perniagaan, Zana mendapati pendapatan daripada perniagaannya bukanlah sesuatu yang senang untuk
dicapai.
"Saya berjaya menjual hanya beberapa produk. Akhirnya saya mengalami kerugian yang besar. Tetapi apa yang lebih memeningkan ialah saya menghabiskan wang pinjaman PTPTN untuk itu," kata Zana kepada penulis. Zana menyesal tindakannya memasuki dunia perniagaan langsung ketika masih belajar 'tidak menjadi' dan dia terpaksa mencari sumber kewangan yang lain untuk menampung kos pelajarannya.

JUALAN LANGSUNG

"Adalah tidak berapa bijak bagi pelajar universiti menceburi bidang perniagaan kerana mereka sepatutnya fokus terhadap pelajaran. Bukannya senang nak dapat tempat di universiti, jadi mereka sepatutnya menggunakan peluang yang diberi dengan baik dan bukan menyalah guna wang PTPTN", kata aktivis sosial dan pengguna Fatimah Mansur bila ditanya tentang dilema yang dihadapi Zana.
Fatimah berkata penjual langsung mestilah seorang yang mempunyai kesabaran dan tahu bagaimana caranya mendekati pelanggan selain mempunyai masa untuk berbuat demikian. "Itulah sebabnya tidak berapa bijak bagi pelajar menceburi bidang perniagaan kerana ini akan memberi impak terhadap pelajaran kerana penjual langsung perlu memberikan penerangan serta membuat demonstrasi tentang produk yang mereka jual", katanya.Penjual langsung bebas seperti Zana beroperasi bagi pihak diri sendiri atau bagi pihak syarikat, menjual produk dan perkhidmatan melalui jalinan jualan peribadi.

UNTUNG, RUGI

Penjual langsung berpeluang mencapai keuntungan yang lumayan daripada perniagaan mereka tetapi mereka juga mesti bertanggungjawab terhadap risiko yang bersangkut-paut dengan perniagaan seperti ini. Ini bermakna mereka juga boleh menanggung kerugian besar, terang seorang lagi aktivis pengguna dan sosial, Gurmukh Singh.
"Jadi mereka juga boleh buat duit dan pada waktu yang sama boleh menanggung kerugian yang kadang kala agak besar," katanya. Antara barang dalam bidang jualan langsung termasuk produk kosmetik dan penjagaan kulit, penjagaan peribadi dan pencuci, penyedut hampagas, produk makanan serta nutrisi, barang rumah serta pembersihan rumah, barang mainan, buku dan produk pembelajaran selain pakaian, barang kemas serta aksesori fesyen.

KERJA KERAS, MOTIVASI

Kata Gurmukh Singh lagi, bidang jualan langsung memerlukan kesabaran, masa, motivasi dan kesungguhan untuk mencapai kejayaan. "Kalau tiada elemen-elemen ini, kemungkinan besar perniagaan itu akan gagal. Wang tidak akan begitu mudah masuk ke pangkuan anda. Kejayaan tidak berlaku dengan sekelip mata.
"Tetapi ada yang begitu mempercayai yang mereka dapat menguasai perniagaan seperti ini dan wang dengan mudah akan mencurah masuk. Sebenarnya bukan mudah seperti yang mereka sangkakan. Ia mungkin boleh membinasakan (diri)". Kata beliau penjual langsung terpaksa bekerja keras untuk mencapai kejayaan. "Ini bermakna meluangkan masa yang banyak setiap hari bagi mempromosi apa yang mahu dijual, serta sentiasa memberitahu apa yang terkini kepada pelanggan.
Selain dari itu anda hendaklah sentiasa fokus dan mempunyai motivasi", kata Gurmukh Singh. Tegas beliau, halangan yang paling besar dalam perniagaan jualan langsung ialah hilang minat serta motivasi. "Jika hilang minat, kemungkinan besar perniagaan jualan langsung anda tidak akan berjaya," katanya.
Seorang pegawai PTPTN mempunyai nasihat ini kepada pelajar universiti: "Duit PTPTN sebenarnya untuk pelajar menampung yuran universiti dan tidak boleh digunakan untuk tujuan lain. "Jika pelajar didapati menyalah guna wang itu, mereka menghadapi risikopinjaman di tarik balik," katanya.

bertunang mcm booking keta bwu ^_^

Agak janggal juga kalau dalam seratus peserta kursus praperkahwinan ada yang datang secara berseorangan. Hal ini kerana biasanya peserta itu datang berpasangan dengan tunang masing-masing. Malah ada sesetengah tempat yang membiarkan pasangan itu duduk berdekatan dalam dewan kursus.
Inilah realiti hari ini yang sukar diubah dalam pemikiran umat Islam, "ini tunang saya". Bayangkan kalau ke tempat kursus praperkahwinan pun mereka boleh datang secara begitu, apalah halangan untuk mereka berbuat begitu untuk shopping, berdating dan menonton wayang. Apakah dengan bertunang membolehkan mereka berbuat begitu?
Jelas di sini, mereka tidak faham kedudukan tunang dalam Islam, bahkan ibu bapa juga tidak faham hukum Islam secara tepat. Oleh sebab itu, sering kita lihat dan dengar ibu bapa yang berasa risau kalau tunang anaknya tidak datang menjengok anaknya pada hujung minggu. Malah ada ibu bapa yang menyuruh anaknya keluar dengan tunang pada hujung minggu.

Hakikat Bertunang

Bertunang hakikatnya satu perjanjian persetujuan untuk berkahwin. Apabila kedua-dua belah pihak bersetuju maka satu tanda ikatan dimeterai bersama. Sebagai tanda ikatan pihak lelaki dan perempuan akan saling menyarungkan cincin pertunangan dan ada juga yang memberikan hadiah lain.
Pada pandangan anda, apakah dengan persetujuan ini, sudah ada ikatan rasmi? Atau apakah hubungan mereka sudah semakin bebas?
Bagi memudahkan kita memahami stuasi ini, suka saya membandingkan pertunangan dengan "booking kereta" sewaktu kita bersetuju untuk membelinya di bilik pameran kereta tersebut. Biasanya syarikat kereta itu akan meminta RM500 - RM1000 sebagai wang pendahuluan tanda jadi.
Kalau kereta yang dimaksudkan itu sudah ada di dalam bilik pameran, mungkin proses pembeliannya hanya akan selesai dalam tempoh seminggu. Tetapi kalau belum ada, mungkin sebulan atau lebih bergantung kepada tempahan.
Walau bagaimanapun, untuk membolehkah kereta itu dikeluarkan, pembeli perlu membayar 10 peratus daripada harga kereta tersebut dan bakinya akan diselesaikan oleh bank. Kemudian apabila kereta itu sudah didaftarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), barulah pembeli itu boleh membawa balik keretanya ke rumahnya.
Ya, berdasarkan proses di atas, bolehkah si pembeli yang baru memberi RM500 atau RM1000 itu, masuk dalam kereta tersebut dan membawa keluar dari bilik pameran? Setahu saya, tidak dibenarkan. Dia hanya boleh masuk untuk duduk dan memegang stering dan mendengar enjin sahaja, selebihnya tidak boleh. Tetapi kalau kereta terpakai (usecar), jurujual boleh membenarkannya untuk memandu dengan syarat jurujual itu duduk di sebelahnya.
Bayangkan kalau baru booking kereta, begitu kedudukannya, apa pula hukumnya seseorang yang baru bertunang yang hanya sekadar menyarung cincin pertunangan. Jadi, pertunangan dalam Islam sepatutnya mencontohi proses di atas. Sebab itu dalam Islam tempoh pertunangan tidak digalakkan terlalu lama.
Dalam tempoh pertunangan itu terdapat beberapa perkara yang diharuskan. Antaranya ialah:

1. Perhubungan pasangan itu hanya boleh dilakukan di rumah perempuan dengan ditemani oleh mahramnya. Ini bermakna, kalau lelaki membawa kakaknya sebagai teman tidak memadai.
2. Jika lelaki mahu membawa keluar tunangnya, perlulah dibawa bersama ibu atau bapa perempuan itu atau sekurang-kurangnya abang atau kakak perempuan tersebut.
3. Dalam tempoh pertunangan mereka boleh saling mengenali antara satu sama lain untuk mencari keserasian.
4. Dalam keadaan apa sekalipun sentuhan baju tunang adalah dilarang apatah lagi menyentuh kulit termasuk tangan.
5. Tidak digalakkan pasangan tunang itu bermalam dan tidur di rumah pasangan masing-masing walaupun dalam bilik berasingan.

Syariat Dipertahankan

Islam menyediakan peraturan syariat adalah untuk menjaga maruah diri dan keluarga tunang sebelum mereka berdua disatukan. Hakikatnya peraturan ini bukan bertujuan menyusahkan umat Islam. Malah sekatan dalam pertunangan itu boleh menjadikan mereka teruja untuk menunggu tarikh perkahwinan sebenar.
Bayangkan kalau pasangan itu sudah hidup seperti suami isteri dalam tempoh pertunangan, apakah mereka akan teruja dengan tarikh tersebut. Pada mereka, tarikh itu tidak penting lagi kerana kehidupan suami isteri sudah pun bermula. Malah jangan terkejut, ada kes seperti ini, yang lelaki bertindak memutuskan pertunangan atas alasan bakal isterinya tidak dara lagi.
Jelas di sini batasan yang dibuat ini adalah untuk keselamatan masa depan pasangan itu. Apa tidaknya, sebelum akad nikah pasangan itu masih suci, tidak ada dosa sentuhan, tidak ada dosa besar sama ada khalwat atau zina, tidak mencemarkan nama baik keluarga dan Islam. Jadi, pada waktu akad nikah mereka berdua adalah orang yang bersih di sisi Allah dan manusia.
Tetapi tahukah anda, jika sesuatu pasangan yang bertunang itu tidak mampu untuk mempertahankan syariat di atas, kehidupan mereka setelah berkahwin tidak begitu harmoni kecuali mereka benar-banar bertaubat sebelum diakadnikahkan. Allah yang maha pengampun bersedia mengampunkan dosa mereka jika mereka serius memohon keampunan kepada Allah.

Penguatkuasaan Dari Dalam

Demi maruah diri, keluarga, dan Islam, ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak sebelum bertunang tentang hukum ini agar mereka tidak melanggar syariat sesuka hati. Saya percaya, anak-anak akan mudah memahami dan menghormati peraturan ini jika ibu bapa dapat menunjukkan contoh yang terbaik dalam urusan ini.
Selain itu pihak penganjur kursus pra-perkahwinan seharusnya mengenakan syarat kepada peserta agar mematuhi kehendak syariat. Mereka boleh dibenarkan membawa pasangan, tetapi mereka perlu diberi penjelasan tentang hukum ini. Dan dalam dewan pula, kedudukan mereka perlu dipisahkan termasuk dalam dewan makan.
Tidak kurang penting juga, pihak Penolong Pendaftar Nikah (PPN) yang setiap hari dikunjungi pasangan tunang untuk memohon perkahwinan, sebaiknya mereka itu dinasihatkan agar mematuhi hukum di atas. Teguran PPN ini penting sebagai ilmu asas sebelum mereka berkahwin. Malah sebaiknya ajarkan mereka supaya bertaubat sebagai persiapan sebelum diijabkabulkan.
Saya percaya kalau semua ini dapat difahami dan dilaksanakan oleh pihat terbabit, umat Islam akan terbina maruahnya kembali setelah selama ini dicemarkan oleh umat Islam sendiri.

Macuarie University,Sydney

Petang 10 Feb 2010 adalah hari keramat buat setiap dari kami yang akan meninggalkan tanah air tercinta demi mengejar segulung ijazah juga menimba selautan pengalaman selama 2 tahun. Menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Sydney bagaikan satu mimpi buat kami. Tidak kami sangka kami menjenguk bumi kanggaru ini.

Negara 4 Musim


Musim panas menjemput kehadiran kami tetapi ia hanyalah seketika. Kemudian musim luruh mengambil tempat. Subhanallah, indah sungguh penciptaan yang Maha Esa. Dulu, bermain bersama daun 'mohabatein' adalah igauan tetapi kini suatu kenyataan. Melihat perubahan warna daun-daun, melihat daun-daun berguguran bagaikan sesuatu yang sukar untuk dipercayai. Benarkan aku di 'oversea'?
Kemudian, beralih pulak ke musim sejuk. Masyallah sejuk sangat. Saat suhu menjejah 5 darjah Celsius, 'sleeping bag',' heater' dan 'sweater' adalah sahabat karib. Kini kami bertemankan musim bunga. Subhanallah, bunga-bunga dan dedaunan yang gugur kini digantikan dengan yang baru. Indah tak terkata melihat alam yang fana ini, sungguh mempesonakan.


Sydney dan Islam



Berada di Bandar metropolitan, Sydney, pastinya tarikan utama adalah Sydney Opera House (seperti dalam gambar di atas, sila klik untuk paparan lebih jelas) yang dikelilingi lautan yang terbentang luas. Berhampiran dengannya terdapat 'Harbour Bridge' dan Luna Park yang menjadi tempat penggambaran cerita 'Nur Kasih'. Di sini terdapat lakaran sejarah buat warga Australia. Disinilah bermulanya cerita bagaimana Australia dibuka.
Selain itu, berada di bumi yang mana Islam bukanlah agama rasmi, menjadi kesukaran untuk menjejaki masjid. Namun, terdapat dua kawasan yang didominasi oleh komuniti Muslim iaitu di Auburn dan Lakemba. Di situ tertegak 2 buah rumah Allah dengan gahnya. Terdapat juga masjid-masjid di kawasan yang lain seperti Rendwick (berhampiran Malaysian Hall) , Masjid Tempe dan seumpamanya. Di Auburn dan Lakemba, terdapat banyak restoran makanan halal yang kebanyakkan di kendalikan oleh bangsa Arab dan terdapt segelintir warga Indonesia. Di sini juga banyak terdapat busana muslimah menanti anda.



Ramadhan dan Aidilfitri di Negara Orang

Sedikit coretan yang meninggalkan kesan yang agak dalam adalah menyambut Ramadhan dan Aidilfitri di sini. Pengalaman yang mungkin menyedihkan kerana tiada insan-insan tersayang di sisi akan tetapi pengalaman ini bukan semua berpeluang merasainya. Cuba bayangkan, ada segelintir yang memulakan 1 Ramadhan pada hari Rabu dan segelintir lagi pada hari Khamis. Satu pengalaman yang asing akan tetapi menuntut kita untuk merujuk kembali hadis yang membicarakan soal perhitungan puasa.
Hari-hari sepanjang Ramadhan seperti hari-hari yang lain. Tiada bazaar Ramadhan, orang disekeliling makan sana sini. Namun, itulah Ramadhan. Mengajar erti keserdahanaan dan mencari redho yang Esa.
Aidilfitri bertemankan 'assignment' yang perlu dihantar pada malam 1 Syawal. Kalau di Malaysia, pastinya kita sibuk menukar langsir, membali baju baru, membuat biskut dan seumpanya. Aidilfitri disambut dengan gema takbir memuji Illahi bertemankan air mata dek Ramadhan meninggalkan kami dan pada keeseokan harinya solat sunat aidilfitri dan khutbah aidilfitri. Berbekalan sedikit juadah, Aidilfitri disambut secara serdahana. Namun, rumah terbuka tidak asing di sini. Apabila berjumpa komuniti Muslim, terubat rindu pada keluarga tercinta.

Buat adik-adik yang bakal terbang ke Australia dan New Zealand pastinya pengalaman-pengalaman ini akan anda  lalui. Cumanya yang membezakan kita bagaimana kita melihat suatu pengalaman itu?


Tepuk dada, tanya iman.