11 August 2014

Tentang Berbuat Baik

Di kala bumi dibasahi air hujan di petang ini, aku tiba-tiba teringat sekitar pengkebumian arwah datukku dulu. Aku berusia belasan tahun ketika itu. Aku begitu ‘teruja’ melihat lautan manusia yang membanjiri rumah peninggalan arwah, yang dibina sendiri dengan tulang empat kerat datukku yang sememangnya tidak pernah duduk diam. Seingat aku, jarang sangat aku melihat arwah bersantai. Yang selalu aku lihat arwah ke hulu dan ke hilir dengan kerja-kerjanya yang seolah-olah tiada penghujung.
Satu-satunya masa yang aku lihat arwah dalam keadaan rehat adalah bilamana arwah mengumpulkan cucu-cucunya sambil kami duduk mengelilingi arwah di biliknya setiap pagi sebelum arwah memulakan tugasannya. Pada waktu itu akulah yang selalu menjadi ‘pembaca berita’ tidak bertauliah yang dididik secara tidak langsung oleh arwah datukku. Akhbar yang menjadi kegemarannya itu ku belek-belek dan mencari-cari ‘berita’ terkini untuk diperdengarkan bukan sahaja kepada sepupu-sepupuku tapi kepada ‘mentor’ku yang satu itu.
Ketika dalam usia di bangku sekolah dulu aku memang biasa mendengar nama-nama tokoh ternama seperti Nik Aziz dan juga Mahathir, tapi tidak ku pasti siapa mereka yang sebenarnya. Nama-nama itu ku temui dalam bahan bacaan yang terkandung dalam perpustakaan mini di rumah arwah datukku itu. Aku juga tidak tahu apa itu politik, fiqh mahupun sirah. Tapi aku memang gemar membaca buku-buku arwah yang banyak itu seawal usiaku 8-10 tahun. Sementelah aku memanglah seorang ulat buku.
Daripada ‘kegilaan’ku terhadap bahan-bahan bacaan milik arwahlah maka aku mengenal sirah nabawiyah. Aku kenal siapa Hassan Al-Banna, hatta siapa sebenarnya Mustafa Kamal Attarturk juga Ayatollah Khomeini. Mungkin bertitik tolak daripada itulah minatku pada bidang penulisan bercambah.
“Tok awak dulu baik orangnya. Semua orang ditegurnya. Siapa yang lalu di depan rumah pasti diajaknya makan bersama. Pendek kata, semua orang mengenali Cikgu Alias.” Baru ku tahu dari mana ibuku mendapat ‘bakat’ itu, berbuat baik. Berbuat baik itu memanglah dituntut, tapi dulu aku selalu saja tidak sepakat dalam ‘bakat’ yang satu ibuku itu sehinggakan pernah berkata: “Sudah-sudahlah berbuat baik. Sudahnya ditikamnya kita dari belakang nanti.” Allahurabbi. Naifnya aku. Teruknya aku sampai menghalang pada kebaikan. Apalah salahnya berbuat baik?
Kisahnya bukan hanya tentang berbuat baik, tapi bagaimana berbuat baik tanpa sempadan; tanpa menilai manusia-manusia lain bahkan terus berbuat baik walaupun pernah disakiti oleh mereka yang menerima ‘kebaikan’ kita.
Aku sebenarnya kagum dengan arwah datukku, Cikgu Alias. Meskipun kebanyakan orang menganggap arwah hanyalah seorang guru kampung yang biasa-biasa saja, arwah seorang yang baik. Bayangkan kalau ada sesiapa saja yang lalu di rumahnya pasti dia akan memanggil: “Eh, marilah singgah dulu makan nasi!” Tidak hairanlah kehilangannya amat dirasai bukan saja oleh keluarga, bahkan kucing kesayangan arwah yang sekan mogok lapar tidak mahu makan selepas pemergian arwah ke rahmatullah.
Benarlah kata orang, kalau kita baik apatah lagi berbuat baik pasti orang akan mengenang kita. Orang akan menyebut-nyebut nama kita dan mengingat kebaikan kita, bahkan sudi mendoakan kita.
Tidak hairanlah ramai yang menangisi pemergian arwah. Solat jenazah seakan-akan solat jemaah di masjid dengan saf-saf panjang memenuhi segenap ruang bahagian atas kediaman arwah datukku. Yang menghantar arwah ke ‘rumah’ barunya juga seakan-akan sebuah perarakan besar dengan diiringi ramai keluarga, sahabat dan juga taulan. Allahurabbi, begitu rupanya ‘kesudahan’ orang yang dilihat baik di mata manusia. Aku tahu, bukan sebuah penghargaan yang arwah pinta, tapi arwah di mata mereka sangat dipandang tinggi.
Moralnya, teruslah berbuat baik. Ini monologku dalam sendiri. Bukan hanya sebab mengejar pahalanya, tapi untuk memperolehi kegembiraan dan juga kebahagiaan dalam diri seperti kata Rasulullah SAW: “Buatlah kebaikan, kerana ia merupakan kunci kebahagiaan”. Imam Ibnul Jauzi bahkan pernah berkata: “Orang yang suka berbuat baik kepada manusia, dialah orang yang paling bahagia”.
Semoga arwah Tok, Opah, Datuk dan Nenek bahagia di ‘sana’ dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan bertaqwa. Ameen allahumma ameen.

No comments:

Post a Comment